“Please describe how is your life sejak kecil sampai sekarang?”
Rasa macam nak menganga pun ada bila doktor minta ingat semula zaman kecil sampailah dah besar panjang. Semasa sesi appointment dengan doktor tu saya masih boleh bercerita dengan lancar.
Saya imbas semula zaman saya membesar dari kecil sampailah sini bergelar ibu kepada seorang anak.
Bermula dengan saat saya sudah mula mampu merakam memori akan apa yang sedang berlaku semasa kecil. Seingat saya sekitar usia enam ke tujuh tahun ketika sudah mula bersekolah tadika. Tapi dalam tempoh singkat itu saya cuma menceritakan beberapa perkara. Antaranya…
Masa kecil orang sering puji saya yang baik dan pendiam. Pergi ke rumah orang saya tidak banyak meragam seperti kanak-kanak lain. Orang suruh salam, saya salam. Orang tanya sepatah, saya jawab sepatah.
Masuk sekolah rendah pun begitu. Saya masih pendiam. Ada orang yang melihat saya ingat saya bisu sebab tak buka mulut. Saya banyak memerhati macam mana orang lain bermain, bercakap, bergaul. Kat sekolah saya selalu tak terpilih untuk ke depan. Tapi saya pandai akademik.
Sekolah menengah dah mula pandai bercakap terutamanya selepas pindah sekolah. Sebab masa tu tak ada sesiapa kenal kot jadi saya boleh jadi diri yang baru. Dan saya juga cemerlang. Cuma masa nak SPM struggle sikitlah sebab masuk MRSM. Tapi saya masih dapat straight As. Asasi juga begitu, saya dapat 4 flat.
Tapi derita bermula bila saya masuk ke universiti. Rutin mula berubah dan saya mula rasa lemas, rimas, lelah. Saya tak mampu skor. Gagal banyak subjek dan terpaksa ulang. Saya extend juga setahun untuk habiskan paper yang kena repeat.
Saya rasa tersakiti tapi tak tau apa yang menyebabkan saya jadi begitu.
Masuk kerja, saya semakin rasa sakit. Saya rimas dengan persekitaran kerja yang tak teratur. Perlu berhadapan dengan banyak lapisan kawan sekerja, bos. Akhirnya saya nekad berhenti kerja tanpi fikirkan apa kesannya sebab saya belajar dengan tajaan JPA.
Dipendekkan cerita saya didiagnos dengan Major Depressive Disorder dan setahun kemudiannya doktor menukar diagnosis kepada Bipolar Mood Disorder Type 2.
Sepanjang tujuh tahun hidup dengan bipolar, ada banyak episod naik dan turun.
“Ada pernah sesiapa cakap awak ganjil dan pelik?” Doktor sambung pertanyaan selepas selesai secara ringkas cerita tentang kehidupan selama ini.
Saingat saya, pernah beberapa kali oleh orang yang berbeza. Tapi selalunya saya mengambilnya dengan konotasi positif. Sebab yang kata saya pelik ni sebab saya skema, gipang (istilah kasa sekolah untuk gila pangkat bila suka join itu ini), suka bercakap macam gaya motivator, suka beri pendapat berbeza. Itulah yang pelik. Tapi bagi saya orang lain yang pelik sebab tak berdisiplin dengan masa, suka lengah-lengah.
Saya selalu rasa kekok bila berjalan. Saya kena fikir nak gerakkan tangan macam mana supaya tak kekok. Bila saya tengok orang jalan tangan kat bawah, saya cakap dalam hati la macam tu je ke. Letak tangan kat bawah tapi bila saya buat saya rasa kekok dan kena berlatih.
Banyak lagi benda pelik cuma saya tak perasan selama ni bahawa benda tu pelik.
“Kenapa doktor tanya saya semua ni?” Masa ni saya dah mula rasa sesak dada sebab doktor tanya soalan yang tak pernah orang lain tanya tapi soalan tu buat saya sedar yang saya selalu struggle dengannya.
Sampailah doktor kata, saya bukan bipolar.
Waktu itu saya tergamam. “Jadi saya ni siapa sebenarnya, doktor?”
Doktor jawab dengan tenang, “MDD secondary to ASD and ADHD. It is clinically there.”
Dan dengan itu, satu fasa hidup saya yang penuh salah faham terhadap diri sendiri akhirnya terlerai.
Saya bukanlah bodoh atau tak pandai. Saya bukanlah pelik. Saya bukanlah skema.
Saya hanya, neurodivergent.
Bila saya muhasabah semula, saya dapat lalui semua ini (sejak mula didiagnos dengan MDD) sebab saya ada sokongan. Saya ada ramai yang memberi sokongan emosi terutamanya selepas saya kahwin, dari suami saya sendiri.
Saya mendoakan di luar sana, yang sedang mencari jawapan seperti saya dulu, dapat menemui diri sendiri.
Dan sekarang saya sedang belajar mengenal diri saya yang lama, dengan diri yang baru—seorang AuDHD.
Kalian di luar sana, jangan kecewa ya jika doktor mengubah diagnosis. Kita tetap diri kita yang sama. Diagnosis memudahkan kita mencari jalan untuk sembuh.
Just, trust the process.
Nota: Istilah AuDHD bukan istilah perubatan tetapi AuDHD banyak digunakan sebagai singkatan yang merujuk kepada ASD dan ADHD.
Kalau anda juga sedang melalui perjalanan yang penuh persoalan, ingatlah yang anda tidak keseorangan. Teruskan mencari jawapan, teruskan mencari sokongan. Jangan takut untuk kenal diri anda semula.
Jom borak bersama SAPOT Warriors kami.
SAPOT Warriors ialah peer supporter bertauliah dengan pengalaman hidup sebenar dalam kesihatan mental, sedia mendengar dan menemani anda.
© 2025 All rights reserved. SAPOT Tech PLT. 202204000813 (LLP0031085-LGN)